About Iban

SEJARAH ASAL-USUL IBAN

Kaum Iban dahulu dikenali sebagai Dayak Laut dan dengan jumlah sebanyak 876,000 iaitu 40% daripada jumlah penduduk Sarawak, kaum Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sarawak ,mereka mendiami daerah dan bahagian negeri Sarawak dari daerah Lundu di barat dan Limbang di timur laut, tetapi kepadatan penduduk Iban adalah di bahagian Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu dan Miri. Kebanyakan kaum Iban tinggal berkampung di rumah panjang yang kebiasaanya terletak di tebingan sungai dan di tepi jalan raya ini adalah bagi mempermudahkan aktiviti kerja , berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain. amalan cara hidup yang diamalkan adalah berlandaskan hukum adat ,pantang-larang, tolak-ansur (tolenransi), dan berteraskan perhubungan persaudaraan yang erat antara satu sama lain. Kebanyakan masyarakat Iban pada hari ini menerima agama Kristian sebagai pegangan, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan nilai adat resam dan ciri-ciri kebudayaan yang menjadi lambang tradisi masyarakat Iban. [Sarawak mempunyai 112 jenis suku Dayak.

 PENEMPATAN

Orang Iban biasanya menduduki di lembah Sungai SaribasSungai SkrangSungai Batang Lupar, dan Sungai Rajang. Kaum Iban adalah kaum yang mengamalkan banyak budaya yang menarik. Mereka hidup bermasyarakat dan mendiami rumah-rumah panjang. Diketuai oleh ketua kampung yang dipanggil Tuai Rumah. Kebanyakkan masyarakat Iban sekarang telah menetap di bandar-bandar besar di sekitar Negeri Sarawak.

TRADISI

Tradisi orang Iban adalah menyimpan pasu, gong, dan tempayan yang dipanggil tajau. Ia diwarisi secara turun-temurun, bernilai, dianggap suci, dan dihomati. Tajau berfungsi sebagai harta simpanan dan diperoleh secara tukar barang. Sebilangan kecil masyarakat bumiputera Iban masih mengamalkan kepercayaan nenek moyang.



PERAYAAN GAWAI

Perayaan Gawai merupakan perayaan utama bagi suku kaum Iban. Jenis-jenis Hari Gawai adalah seperti Gawai Dayak,Gawai BurungGawai BatuGawai KenyalangGawai Panggul,Gawai Kelingkang,Gawai Tuah,Gawai Lelabi dan Gawai Antu. Antaranya sambutan Hari Gawai Dayak yang dijalankan antara hari pertama dan kedua pada bulan Jun adalah terpenting. Biasanya, Tarian Ngajatditarikan dalam sambutan Hari Gawai sebagai tanda kesyukuran dalam kehasilan menuai padi sepanjang tahun ini. Tuai rumah merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menguruskan sambutan yang penting ini. Perayaan Gawai juga tidak akan lengkap, sekiranya Tuak tidak dihidangkan. Minuman yang diperbuat daripada ragi dan beras boleh didapati di rumah panjang.




SISTEM TULISAN / BAHASA IBAN

Kaum Iban dikenali dengan " Master of Language " oleh dunia. Prof Derek Freeman adalah salah seorang dikalangan pengkaji Bahasa Iban yang menyatakan bahawa orang Iban sememangnya master of language. Prof Derek Freeman turut menyatakan bahawa Orang Iban pandai dalam menggunakan bahasa, di setiap baris ayat, mencipta serta membina puisi dengan cantik, bijak dalam memilih dan menyusun ayat sereta mempunyai banyak jenis puisi yang menggunakan penyusunan ayat yang sesuai dengan bunyi, seperti yang digunakan dalam poems dan prose dalam Bahasa Inggeris. Orang Iban yang mempunyai bahasanya yang tersendiri, iaitu Bahasa Iban, bahasa Iban berbeza di setiap tempat bukan sahaja di Sarawak tetapi di Kalimatan, Sabah dan Semenanjung. Bahasa Iban merupakan bahasa yang seragam (homogenous). Masyarakat Dayak-Iban merupakan satu-satunya bangsa bumiputra di Malaysia yang mempunyai sistem tulisan yang disebut 'Turai'. Ia mempunyai tidak kurang daripada 59 abjad yang mewakili bunyi sebutan seperti tulisan rumi. Sistem tulisan ini berkesan apabila orang Iban dapat merujuk keturuan sehingga 15 generasi yang terdahulu dengan darjah ketepatan yang mengagumkan dan juga merekodkan peristiwa penting. Salah satu peristiwa yang penting dalam sejarah orang Iban ialah 'Pirate of Beting Maro' di mana mereka mematahkan kemaraan penjajah dengan serangan [Ngayau]dan membawa pulang kepala musuh yang dipenggal.


KEGIATAN EKONOMI

Sebahagian besar masyarakat Iban masih tinggal di rumah-rumah panjang dimana pola pertempatan bagi rumah panjang ini adalah beselerak dilembah sungai di seluruh Negeri Sarawak, segolongan besar orang Iban masih melibatkan diri di dalam kegiatan pertanian iaitu menanam padi bukit atau padi huma. Orang Iban pada zaman dahulu merupakan peneroka terulung dalam membuka hutan rimba (berimba)atau(berumpang kampong)bagi tujuan penanaman padi bukit. Aktiviti penerokaan ini dilakukan dengan seluas yang termampu dengan matlamat untuk mendapatkan hasil tuaian tanaman padi yang lebih banyak. Bagi masyarakat Iban sesiapa yang dapat tuaian padi yang banyak maka dia merupakan seorang yang boleh dianggap kaya dan dipandang tinggi ,pintar dan rajin. Justeru itu masyarakat Iban pernah dianggap sebagai salah satu masyarakat yang terkenal dengan penanaman padi bukit(Sultive,1978:3). Selain itu orang Iban yang tinggal di rumah panjang masih menjalankan aktiviti memburu dan mendapat sumber-sumber hutan untuk mendapatkan bekalan makanan dan perubatan. Pada hari ini sebahagian orang iban mula menetap di bandar- bandar besar di Sarawak, kebanyakan generasi baru Iban mempunyai pengetahuan dan kelayakan pendidikan dan berkerja di dalam sektor awam dan sektor swasta.

Makanan Tradisonal

Sayur midin atau "kemiding" merupakan salah satu daripada makanan kampung yang boleh didapati di tepi semak. "kemiding" selalunya akan di masak dengan sambal belacan. Namun makanan ini bukan saja boleh didapati di kampung bahkan di bandar .  Terdapat Pelbagai cara untuk memasak sayur midin ini. 
 Sayur midin ini merupakan makanan tradisional bagi masyarakat Iban.

Picture
MANUK PANSUH atau ayam yang di masak di dalam buluh juga merupakan salah satu daripada makanan tradisi orang Iban. Biasanya masyarakat iban akan menggunakan ayam tua untuk dibuat "pansuh". makanan ini sedap dijadikan lauk dan "tabas" semasa perayaan. Daun ubi akan di diletakan pada hujung buluh untuk menghasilkan bau wangi.

Picture
KASAM IKAN atau "Pekasam" sangat dikenali bagi suku kaum masyarakat iban. Tidak sah kalau suku iban menghidang makanan tanpa pekasam di sisi. Selalunya, ikan akan  diperam selama sebulan sebelum di makan, makin lama peraman makin sedap rasa isinya. Selain itu, pelbagai jenis ikan boleh digunakan untuk di jadikan pekasam seperti ikan semah, baong, lampam jawa, tengadak, sepat dan apa apa saja jenis ikan sungai. selain daripada itu juga, ramai masyarakat tidak dapat menerima makanan ini kerana baunya, tetapi sesetengah lagi dapat meneriamanya dengan baik.

Picture
Pekasam ensabi makanan tradisional kegemaran orang Iban merupakan sayur sawi dibuat jeruk hingga menjadikannya sebagai pekasam. Pekasam ensabi juga dikenali sebagai "kasam ensabi" oleh masyarakat iban. Rasanya yang masam dan sedikit masin amat sedap dinikmati dengan hidangan nasi panas dan dicampur dengan limau. Rasanya akan membuat kita ingin menambah nasi.  Kini hidangan yang diwarisi sejak zaman nenek moyang terus digemari hingga generasi sekarang.
Pakaian Tradisional

AIN SIRAT
Kain Sirat atau kain cawat adalah pakaian asas kaum Iban. Sirat adalah sebidang kain yang berukuran 50 cm X 500 cm. Bahagian hujung kain ini dihiasi dengan sulaman atau tenunan yang indah. Kadang-kadang manik dan kulit siput turut dikarangkan sebagai hiasan di bahagian itu. Sirat dipakai dengan cara melilitnya dipinggang dan celah kangkang. Hujung kain ini dijuntaikan dari pinggang ke hadapan dan belakang badan; mempamerkan bahagian yang berhias.
DANDONG
Ia merupakan kain selendang yang dipakai oleh lelaki Iban. Dandong lebih lebar daripada bedong. Panjang dandong tidak tetap kerana kain ini digunakan sebagai pembungkus barang-barang persembahan dalam upacara-upacara tertentu. Dandong diperbuat daripada kain yang ditenun dengan cara ikat.
BIDANG
Wanita Iban memakai kain sarung yang dipanggil bidang. Kain sarung ini sempit dan panjangnya cuma lebih kurang separas lutut. Biasanya bidang diperbuat daripada sebidang kian yang berukuran 110 cm x 60 cm dan terdiri daripada dua bidang kain seumpamanya yang dicantumkan. Bidang yang digunakan sebagai pakaian harian tidak banyak reka coraknya. Kebiasaannya bidang ini hanya dihias oleh reka corak jalur-jaluran yang bewarna-warni. Bidang yang dipakai ketika upacara tertentu @ sebarang perayaan pula dihiasi oleh pelbagai reka corak geometrik dan diwarnakan dengan warna merah bata dan kekuning-kuningan. Malah ada diantara bidang tersebut yang dihiasi dengan reka corak bermotif tradisional yang disongketkan dengan benang emas atau perak di atas kain dasar yang bewarna merah.
KALAMBI
Baju Kaum Iban yang dipanggil kalambi pula ada dua jenis iaitu kalambi berlengan dan kalambi tanpa lengan. Kalambi dipakai oleh lelaki dan wanita Iban ketika upacara tertentu sahaja. Potongan kalambi sangat ringkas iaitu terdiri daripada sebidang kain segi empat bujur yang dilipat dua. Sisinya dicantumkan dan ditinggalkan ruang untuk lubang lengan atau ambungan lengan. Panjang kalambi berbeza-beza iaitu ada yang separas punggung dan ada yang labuh hingga ke lutut. Kalambi ditenun dengan segala macam motif yang indah. Terdapat kalambi yang dihias dengan jalur-jalur yang indah dan ada pula kalambi yang dihias dengan jalur-jalur dan setengahnya pula dipenuhi dengan figura-figura roh dan binatang. Kalambi yang dipakai oleh pahlawan juga dilapiskan dengan kekabu sebagai pertahanan. Ada kalambi yang menggunakan kain yang ditenun dengan cara ikat. Kain ini bermotifkan jalur-jaluran yang menegak, figura manusia dan burung. Semua motif tersebut ditenun dalam bentuk geometrik. Hujung kalambi hasil tenunan ikat ini pula dibiarkan berjumbai, berpintal atau dihias dengan karangan manik.
BEDONG
Wanita Iban juga memakai kain selendang yang panjang dan sempit. Kain selempang ini dikenali sebagai bedong, iaitu ia dihiasi oleh reka corak tenunan yang sangat halus. Panjang bedung hampir sama dengan sirat. Beong dipakai di bahu sebagai selendang atau diselempangkan di badan seperti pangkahan di dada dalam upacara-upacara rasmi.
PUA KUMBU
Pua Kumbu adalah hasil tenunan kaum Iban yang paling terkemuka. Pua Kumbu dikatakan mempunyai kuasa dan dijadikan bahan penting di dalam upacara-upacara seperti berubat, gawai dan seumpamanya. Dalam upacara perkahwinan pula, ibu bapa pengantin perempuan menghadiahkan kain ini kepada keluarga pengantin lelaki sebagai 'mas kahwin'. Semasa bersanding, pasangan pengantin duduk di bawah 'sengkuap' untuk mendapat restu daripada saudara tua. Pua juga digunakan untuk menghias pelamin, dan lain-lain kegunaan selain digunakan sebagai pakaian
Adat Resam
Masyarakat Iban di Sarawak begitu kuat berpegang kepada adat dan budaya. Mereka berpegang kepada peribahasa, biar sesat di belantara, asal jangan sesat adat.
Kaum Iban tinggal di sekitar 5,000 rumah panjang kebanyakannya di pedalaman Sri Aman, Betong, Kapit, Song, Bintulu dan Sibu, hampir sepanjang Sungai Rajang dan menyumbang sekitar 29 peratus daripada 2.5 juta penduduk Sarawak.
Jika anda pernah berkunjung atau menginap di rumah panjang Iban, satu daripada upacara yang pasti akan anda saksikan ialah miring. Miring ialah upacara persembahan atau berdoa kepada tuhan atau petara bagi memberkati permintaan dan mendapat perlindungan daripada sesuatu ancaman.
Upacara Miring
Singkatnya, miring diadakan bagi memberkati penduduk, melindungi dan memberi mereka, membawa kebahagiaan, kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat. Dalam masyarakat Iban, miring diadakan sebelum aktiviti penting diadakan atau sesudah malapetaka dan kejadian tidak diingini menimpa.
Pada zaman silam, miring diadakan sebelum rombongan melancarkan ngayau atau menerokai kawasan baru serta ketika penghuni berpindah ke rumah panjang baru. Terdapat empat tahap penggunaan piring, iaitu tiga, lima, tujuh, dan sembilan. Tiga dianggap sebagai miring biasa misalnya, untuk mereka yang mengalami mimpi buruk atau apabila hendak bersawah, manakala lima piring adalah untuk mendirikan rumah panjang; tujuh piring adalah untuk aktiviti yang lebih tinggi seperti untuk berjalai atau mengembara jauh; dan sembilan piring untuk peperangan.
Dalam hubungan ini, mengikut adat tusun tunggu Iban, bagi tahap lima ke atas, babi perlu digunakan. Dalam piring dimasukkan sesaji atau persembahan kepada petara seperti nasi pulut putih, nasi pulut hitam, nasi putih, rokok apung, tembakau, telur yang dimasak, sirih dan pinang, garam, minyak masak, sagun, dan ‘letup’ semua ini perlu disiram dengan air tuak.
Upacara miring itu dianggap oleh kebanyakan pelancong yang datang melawat ke negeri ini sebagai sesuatu kebudayaan yang sungguh unik, menarik dan jarang terdapat di negara lain.
Pantang Larang 
Sewaktu Mengandung 

Dalam tempoh tujuh bulan sewaktu mengandung, wanita Iban dan suaminya dikenakan pelbagai pantang larang, antaranya seperti berikut;
• Mereka dilarang menggali parit di kawasan padi atau di mana-mana sahaja.
• Mereka dilarang memotong pokok yang menjalar di atas tanah, kerana dibimbangi akan menghalang pendarahan yang berterusan semasa melahirkan anak.
• Wanita yang mengandung dilarang menuang minyak ke atas tapak tangan untuk disapu pada rambut supaya bayi yang bakal lahir tidak akan bernanah.
• Kedua suami isteri tidak boleh mengetuk telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi itu akan cacat penglihatan.
• Mereka tidak boleh menanam pokok pisang supaya si bayi tidak berkepala besar.
• Mereka tidak boleh memikul batu-bata tajam di dalam raga kerana dikhuatiri bayi akan lumpuh.
• Mereka tidak boleh membawa kura-kura ke dalam bilik supaya bayi tidak tersekat di dalam rahim semasa dilahirkan. 

Pengenalan

Perkahwinan dalam masyarakat Iban agak unik kerana terdapat beberapa peraturan yang dilakukan sebelum seseorang itu layak menjadi suami isteri. Dalam masyarakat Iban, usia pengantin lelaki perlu melebihi dua puluh dua tahun. Ini disebabkan dalam usia yang sebegini, pihak lelaki telah bersedia untuk berkahwin. Bagi pihak si gadis pula, tiada umur khusus yang ditetapkan. Perkahwinan yang sempurna bagi masyarakat Iban ialah perkahwinan yang mematuhi kehendak adat. Pihak yang melanggar mana-mana adat perkahwinan dikehendaki membayar denda untuk mengelakkan pasangan suami isteri ditimpa kesusahan. Usaha mencari pasangan bergantung pada keadaan di rumah itu, kalau keluarga itu besar, anak-anak mereka lambat dikahwinkan. Sebaliknya, apabila anggota keluarga di rumah itu kecil, anak-anak mereka akan dikahwinkan secepat mungkin dengan harapan menantu dapat membantu keluarga membuat kerja-kerja tertentu. Terdapat beberapa peringkat tertentu dalam perkhawinan kaum Iban iaitu peringkat merisik, meminang, bertunang, majlis perkahwinan dan selepas majlis perkahwinan.

Merisik
Dalam masyarakat Iban, perkahwinan biasanya ditentukan oleh pengantin lelaki. Sekiranya seorang teruna telah berkenan kepada seorang gadis, ibu bapanya atau wakil akan bertandang ke rumah gadis untuk merisik. Perjumpaan kedua belah pihak ini juga dikenali sebagai berbunga-bunga atau berjarum-jarum. Pada masa itu syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan termasuklah berian dan sebagainya. Keluarga pihak lelaki akan menghantar rombongan meminang gadis jika hasil pertemuan itu menggalakkan. 



Meminang dan Bertunang

Rombongan pihak lelaki biasanya tidak kurang daripada lima orang dan paling ramai dua puluh orang yang terdiri daripada orang-orang tua. Pada masa itu syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan termasuklah berian atau mas kahwin serta lain-lain yang berkaitan. Setelah mencapai kata sepakat, ayah pihak lelaki menanggalkan lapit atau ikat pinggang perak atau sebilah pedang sebagai tanda pertunangan. Seterusnya kedua belah pihak akan berbincang tentang tarikh dan hari perkahwinan. Mulai saat itu, perempuan itu tidak boleh lagi menerima kunjungan teruna selain tunangnya. Dua atau tiga hari kemudian wakil pihak lelaki akan memaklumkan berita pertunangan tersebut kepada saudara-mara dan jiran tetangga. 


Majlis Perkahwinan

Pengantin masyarakat Iban
Majlis Perkahwinan Pelbagai persiapan akan dibuat untuk majlis perkahwinan yang bakal tiba. Bagi pihak keluarga lelaki mereka akan menyediakan perbelanjaan serta barang yang harus diberikan kepada keluarga perempuan. Keluarga perempuan juga membuat pelbagai persiapan termasuk memburu binatang untuk disembelih pada hari perkahwinan. Untuk mengundang tetamu, kedua-dua pihak melantik wakil masing-masing untuk menguruskan jemputan kahwin. Wakil itu membawa beberapa utas tali bersimpul yang menunjukkan berapa hari lagi perkahwinan dilangsungkan. Sekiranya tali itu mempunyai lima simpulan, bermakna perkahwinan itu akan berlangsung dalam masa lima hari lagi. Wakil khas akan meninggalkan tali bersimpul itu kepada tuai rumah atau ketua rumah panjang yang bertanggungjawab membuka simpulan tali itu setiap hari.

Upacara miring 

Upacara akad nikah 
Pada hari perkahwinan, rombongan lelaki biasanya berarak ke rumah panjang pengantin perempuan dengan menaiki perahu yang dihiasi kain pua kumbu sekiranya pengantin melalui jalan sungai . Jika tidak, pengantin akan berjalan kaki mengikut jalan darat. Di sepanjang jalan, rombongan yang berpakaian menarik itu akan memukul gong. Sebaik sahaja sampai di hadapan rumah pengantin perempuan, tembakan meriam akan dilepaskan. Kemudian mereka mandi beramai-ramai di sungai sebelum memakai pakaian tradisional. Sampai di tangga rumah panjang, kepala rombongan pengantin lelaki dipelawa menyembelih seekor babi sebagai penghormatan dan pada masa itu juga tembakan senapang akan kedengaran secara balas-membalas. Di kepala tangga rumah itu pula, terdapat rangka yang berbentuk seperti kota. Ketua rombongan pengantin lelaki terlebih dahulu terpaksa membuka tiga buah kota iaitu di kepala tangga, di tengah rumah dan di hujung rumah.

Setelah itu, rombongan pihak lelaki di kalangan kaum wanita akan masuk ke bilik pengantin perempuan, manakala yang lelaki duduk di ruai. Mengikut adat tetamu perempuan hanya dapat masuk ke dalam bilik pengantin perempuan dengan menggunakan bahasa berirama untuk membuka pintu bilik yang dipalang dengan lembing dan ditutup oleh pua kumbu. Para tetamu seterusnya akan dijamu dengan sejenis arak iaitu tuak dan pelbagai jenis air seperti air haus, air dahaga dan air untung. Sambil itu mereka akan bergurau senda dan beramai-ramai menyanyikan lagu dan memukul gendang. Mereka juga akan berpusing di rumah selama tiga kali. Sesudah itu air minuman akan dihantar kepada setiap tetamu dan ini dinamakan air penyuci. Sekiranya perkahwinan berlangsung pada waktu siang, selepas makan tengahari barulah kedua-dua pihak berbincang tentang perihal pengantin dan susur galur mereka. Sekiranya dilangsungkan pada waktu malam, perbincangan dilakukan selepas tengah malam. Mereka akan berbincang dan golongan yang tertua akan melakarkan hubungan antara pengantin lelaki dan perempuan yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Sebelum perbincangan diadakan, tuai rumah sekali lagi akan menghidangkan minuman keras yang dipanggil air perangsang kepada para tetamu.

Setelah mengetahui hubungkait kekeluargaan, denda akan dikenakan kepada mereka. Selepas itu barulah ibu bapa pengantin perempuan meminta berian. Terdapat nilai berian yang telah ditetapkan di kalangan masyarakat Iban. Pihak perempuan juga meminta bayaran memecah tangga iaitu sebilah beliung, bayaran pembuka pintu iaitu sebatang lembing, bayaran pembuka kelambu iaitu sebilah pedang dan pemberian kecil yang lain. Pihak lelaki pula meminta pencuci kaki , sebuah tempayan, sepasang tempat menggantung gong, penolak haluan iaitu sebatang sumpitan, kajang perahu iaitu sehelai kain pua kumbu dan beberapa pemberian kecil lagi. Selepas menjelaskan segala berian, mereka menetapkan pula syarat berhubung dengan berian sekiranya berlaku perceraian. Permintaan tersebut akan hilang setelah berlakunya perceraian yang tidak nyata. Sekiranya perceraian disebabkan oleh pihak lelaki, si suami wajib membayar balik berian yang diterimanya dahulu dan tambahan sebanyak RM50 sebagai denda. Sekiranya berlaku percubaan untuk mencemarkan nama mana-mana pihak, pihak yang bertanggungjawab akan dikenakan denda yang lain.

Seterusnya upacara membelah pinang atau mengulang pinang akan dijalankan. Seorang perempuan akan membawa keluar tepak sirih dan kemudian membelah pinang tersebut . Pecahan pinang itu akan menentukan tempoh masa pengantin perempuan wajib tinggal di rumah suaminya. Kemudian seorang lemambang atau bomoh akan mengadakan upacara menidurkan anak dan mengejutkan anak itu semula dengan beberapa rangkap pantun. Seterusnya pinang tersebut akan diagihkan kepada tetamu danadat ini sekiranya tiada kesalahan adat yang dilakukan oleh kedua belah pihak. Jika tidak pengantin baru akan mandi di sungai untuk membersihkan diri. Untuk adat ini juga mereka perlu memegang sehelai kain yang panjangnya tujuh ela supaya kesalahan semasa perkahwinan itu akan hilang pada setiap individu. Selepas mandi, mereka menyembelih seekor babi sebagai korban dan juga sebagai penebus dosa pengantin. Setelah menyucikan diri, pasangan pengantin akan memakai pakaian masing-masing untuk pergi ke rumah pengantin lelaki pula. Di sepanjang jalan, rombongan perlu kelihatan gembira kerana segala kesalahan telah dihapuskan. Seterusnya sambutan yang meriah diadakan pula di rumah pengantin lelaki.

Pada sebelah malamnya, kedua pengantin diiringi oleh pengapit masing-masing dan akan disandingkan di atas gong atau kerusi yang dialas kain tenun. Adat ini juga boleh disamakan dengan adat bersanding di kalangan masyarakat Melayu. Pasangan ini akan disaksikan oleh hadirin di rumah panjang tersebut. Seterusnya seseorang yang dipanggil tukang ganyang akan memulakan upacara. Ayam yang telah diikat kakinya kemudian dilepaskan dan mentera pun dibaca. Ayam yang telah disembelih itu akan diambil darahnya untuk disemah kepada pengantin. Istiadat ini akan diakhiri dengan jamuan makan dan minum.

Selepas mengadakan majlis di rumah pengantin lelaki, sekali lagi majlis diadakan di rumah pengantin perempuan. Sungguhpun mereka telah sah sebagai pasangan suami isteri, mereka tidak boleh tidur bersama. Si suami masih tidur di ruai iaitu di bilik tetamu. Sebarang bunyi-bunyian yang didengar sepanjang berada di situ akan mempunyai maksud yang tersendiri samada baik atau sebaliknya. Ada pasangan yang terpaksa dipisahkan buat sementara waktu kerana mendapat petanda buruk.

No comments:

Post a Comment